Manila: Puluhan ribu penduduk bandar raya ini terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing selepas banjir melanda ibu negara Filipina ini, semalam.

Bencana terbaru itu yang berpunca daripada satu lagi taufan yang membadai negara itu turut meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan yang lemas.

Pasukan penyelamat bertungkus-lumus menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terpaksa memanjat bumbung rumah selepas air dari sungai utama di Manila melimpah dan membanjiri kawasan yang padat penduduk.

Jurucakap Majlis Pengurusan Bencana Kebangsaan Mina Marasigan berkata: “Kami berdepan banjir di banyak kawasan. Pasukan bertindak tempatan dan negara kini di lokasi bagi melakukan usaha menyelamat.” Taufan Fung Wong dengan angin selaju 85 kilometer sejam melanda pulau Luzon sekitar tengahari kelmarin.

Menurut jurucakap agensi ramalan cuaca negara itu, Gener Quitlong, taufan itu juga membawa hujan lebat semalaman di seluruh Manila.

Antara kawasan paling terjejas ialah sekitar lembah sungai Marikina di timur Manila yang menyaksikan banjir lumpur dengan ketinggian sekurang-kurangnya bangunan setingkat, menenggelamkan kawasan berhampiran yang padat penduduk.

Ada di antara mangsa yang terpaksa berpaut pada tali untuk naik ke kawasan lebih tinggi bagi mengelak dihanyutkan arus deras.

Dua tentera yang terbabit dalam tugasan menyelamat turut dilihat duduk di belakang lori tentera yang terperangkap dalam banjir.

Datuk Bandar Marikina Del de Guzman memberitahu media, sekurang-kurangnya 27,000 penduduk dipindahkan.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Cainta yang terletak bersebelahan, Kit Nieto berkata: “Keadaan bertambah buruk dengan paras banjir semakin meningkat. Pasukan penyelamat juga terkandas di jalan raya utama.” Menurutnya lagi, 7,000 orang dari kawasan itu dipindahkan.

Setiausaha Kebajikan Sosial Filipina, Corazon Soliman menerusi sidang media yang diadakan memberitahu, secara keseluruhan, bencana itu memaksa sekurang-kurangnya 50,000 orang meninggalkan kediaman mereka di seluruh Manila.

Secara purata, 20 taufan membadai Filipina setiap tahun menyebabkan ratusan orang terbunuh dan membawa kesengsaraan kepada jutaan mangsa yang terbabit.

Sebelum ini, Taufan Haiyan yang terburuk dalam sejarah, melanda Filipina November tahun lalu, mengakibatkan 7,300 mangsa hilang atau mati.

Kerajaan mengisytiharkan cuti bagi sekolah di negara itu semalam dan membenarkan penjawat awam yang tidak terbabit dalam operasi menyelamat dan bantuan kecemasan untuk pulang, sementara pasaran saham ditutup.

Pihak berkuasa lapangan terbang Manila membatalkan 21 penerbangan tempatan dengan enam penerbangan antarabangsa dilencongkan ke tempat lain berikutan cuaca buruk. - AFP

0 comments:

Post a Comment

 
Sponsor ByMeMe Gempaq © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top